Sejak dari mula berlakunya peristiwa
pencerobohan di Lahad Datu, Sabah sehinggalah ke saat ini di mana proses
pembersihan giat dijalankan untuk menghapuskan saki baki pengganas Sulu,
perkataan sandiwara tidak pernah lekang dari mulut para pemimpin dan penyokong
PR.
Sama dada melalui tulisan atau ucapan,
mereka cuba mencipta persepsi umum konon segala yang terjadi di Sabah tika ini
hanyalah satu sandiwara politik. Bila ia gagal mencapai matlamat yang diingini,
sebaliknya mengundang pula amarah rakyat mulalah mereka bersilat lidah mencipta
seribu satu alasan.
Itu kehebatan PR, bijak dalam bab
memperlekehkan orang lain dan amat pantas dalam hal mempolitikkan isu demi
mencapai matlamat politik kepartian mereka. Di masa yang sama cukup
berpengalaman dalam mencipta pelbagai alasan untuk membebaskan diri dari
bebanan kesalahan.
Jika diimbas sejarah lama sejak hampir
15 tahun lalu, perihal sandiwara politik sebetulnya amat sinonim dengan Anwar
Ibrahim dan pakatan pembangkang yang diketuainya. Modus operandinya sama sahaja
seperti Lahad Datu yakni mencetus kesangsian umum terhadap Kerajaan BN kemudian
meraih laba politik untuk kepentingan sendiri.
Dulu gerombolan pembangkang yang sama
jugalah yang menghebohkan kononnya Kerajaan BN telah berkonspirasi untuk
membunuh Anwar dengan menyuntik darah HIV+ ke dalam tubuhnya sehingga
menimbulkan kemarahan ramai penyokong reformasi pro Anwar. Kalut ribut satu
negara dibuatnya.
Bila sandiwara suntikan darah HIV+ reda
dan gagal menyebabkan kejatuhan Kerajaan BN, maka pembangkang menyebarkan pula
kisah Anwar diracuni dengan arsenik. Sekali lagi negara dilanda keributan,
tambah kalut jadinya bila kuncu-kuncu Anwar menyebarkan cerita sedih kononnya
hayat Anwar hanya berbaki setahun sahaja.
Sekali lagi ujian darah dilakukan dan
sekali lagi juga terbukti tiada racun arsenik yang mengalir dalam darah Anwar,
tapi seperti biasa pembangkang tanpa rasa malu tetap menyebarkan propaganda
yang nyawa Anwar dalam bahaya.
Sepanjang proses perbicaraan kes
meliwat Azizan, bekas pemandu isterinya, Anwar meneruskan pula sandiwara baru
datang ke mahkamah dengan lehernya memakai pendakap leher dan berkerusi roda
bagi mencipta gambaran dirinya dizalimi sehingga mengalami kecederaan pada
tengkuk dan patah tulang belakangnya.
Ada yang percaya dan yakin dengan
kebenaran sandiwara itu sekalipun terbukti semasa dalam penjara Anwar
sebenarnya sihat walafiat boleh ke sana ke mari tanpa pendakap leher dan tidak
perlu berkerusi roda, hatta boleh pula bermain sepak takraw dan ping-pong.
Bagi yang waras akal dan celik mindanya
tentu tertanya, andai benar Anwar pernah disuntik dengan darah HIV+, diracuni
dengan arsenik manakala leher dan tulang belakang patah akibat dizalimi, habis
siapa pula gerangannya si Ketua Umum PKR dan Ketua Pembangkang tika ini yang
saban hari aktif meracau berceramah keliling negara tanpa henti?
Hantu raya belaan Anwarkah? Tentu
sekali tidak, kerana memang itulah Anwar Bin Ibrahim yang dulunya sibuk
bersandiwara mendakwa diri di racuni arsenik dan disuntik darah HIV+ serta
patah tengkuk dan belakangnya. Sihat dan terus aktif sekalipun perangainya
makin hari dah nak sama dan hampir serupa dengan perangai hantu raya.
Dan Anwar ini jugalah yang sibuk
mendakwa dirinya dalam bahaya bila mana kereta yang dinaiki Wan Azizah
tiba-tiba mengalami kerosakan dan tersadai selama sebulan di bengkel kereta,
alang-alang kereta dah rosak maka dikatakannya kerosakan itu akibat konspirasi
orang lain untuk membunuhnya.
Gagal menarik perhatian ramai dengan
cerita sandiwara kereta rosak, alih-alih bila timbul isu dia meliwat pembantu
peribadinya sendiri yang bernama Saiful Bukhari, tak semena-mena Anwar melompat
lari bersembunyi di Kedutaan Turki atas alasan ada cubaan untuk membunuhnya.
Anwar yang lantik Saiful jadi pembancuh
kopi kemudian di bawanya Saiful ke hulu hilir baik di dalam dan luar negara,
Anwar yang memandai toron Saiful, akhirnya Anwar jugalah yang mendakwa ada
konspirasi nak membunuhnya selepas Saiful membuat laporan polis dakwa diliwat.
Bijak tak bijak sandiwara Anwar, apa
sahaja yang dicipta olehnya, orang lain yang kena tanggung getah nangkanya. Dia
yang bijak mencipta sandiwara orang lain pula yang dituduh sedang bersandiwara
dan berkonspirasi terhadapnya. Hebat bukan?
Sebab itu bila tiba-tiba sahaja
terpancul perkataan sandiwara atau konspirasi politik dari mulut Anwar atau
juak-juak balacinya, sejarah lama jangan kita lupakan. Perkataan itu cukup
sinonim dengan Anwar dan amat mahir dijayakan oleh juak balacinya dalam usaha
mereka untuk meraih kepentingan politik.
Apa yang berlaku di Lahad Datu semuanya
menjurus Anwar Ibrahim, sebab itu juaknya yang bernama Tian Chua paling awal
terloncat macam beruk cuba mencetuskan persepsi dengan segera menuduh
pencerobohan di Sabah itu adalah sandiwara dan konspirasi politik Kerajaan
Pusat.
Satu jari tuju pada orang lain, empat
jari tuju pada dirinya sendiri. Itulah kebiasaan Anwar, Bapa Sandiwara
Malaysia.